Khamis, 30 Mei 2019 | 12:07pm

70 penunggang disaman dalam operasi trafik

SHAH ALAM: Seramai 70 penunggang motosikal disaman atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi advokasi sempena Op Selamat 15 di Lebuhraya Persekutuan di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata daripada 225 penunggang motosikal yang diperiksa, 70 daripadanya melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai lesen dan nombor plat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, operasi advokasi sempena Op Selamat 15 yang bermula pada jam 7 hingga 9 pagi itu dijalankan berdekatan bekas tapak plaza tol Batu Tiga menghala ke Kuala Lumpur.


INSIDEN pergaduhan membabitkan penyokong Pulau Pinang dan Perak pada aksi Piala Malaysia di Stadium Bandaraya, Sabtu lalu. Ihsan Youtube


PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp (kanan) ketika bersama Philippe Coutinho.

“Sebanyak 225 motosikal dikesan melalui jalan utama lebuh raya dan operasi pada hari ini adalah untuk memberikan nasihat serta peringatan kepada penunggang motosikal agar tidak melalui jalan utama sebaliknya gunakan laluan motosikal yang disediakan.

“Walaupun tiada saman dikeluarkan atas kesalahan melalui jalan utama, kita tetap mengeluarkan 70 saman kepada penunggang motosikal atas pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen serta nombor plat tidak mengikut spesifikasi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada operasi advokasi sempena Op Selamat 15, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin.

Azman berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai penunggang motosikal yang menggunakan jalan utama lebuh raya.

Katanya, siri advokasi itu diadakan secara berterusan dan menurutnya, penguatkuasaan pula bakal dilakukan pada masa akan datang.

“Saya ingin mengingatkan agar penunggang motosikal mematuhi peraturan dengan melalui laluan motosikal. Tindakan melalui jalan utama hanya membahayakan nyawa mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

“Laluan motosikal di lebuh raya ini dalam keadaan baik cuma ada beberapa laluan belum siap sepenuhnya. Bagaimanapun, kita sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) untuk memastikan laluan motosikal selamat digunakan,” katanya.

Azman berkata, penunggang motosikal yang ditahan melalui jalan utama lebuh raya boleh dikenakan saman maksimum RM300.

Sementara itu, katanya, sebanyak 537 saman ke atas penunggang motosikal dikeluarkan sejak Op Selamat 15 bermula.

ANGGOTA polis trafik Selangor menahan dan mengeluarkan saman kepada penunggang motor dalam Operasi dan Advokasi sempena Op Selamat di Lebuhraya Persekutuan. NSTP/Roslin Mat Tahir
Berita Harian X