Ahad, 26 Mei 2019 | 4:19pm
Pasukan paramedik membawa mangsa kemalangan di Jalan Durian di antar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching menggunakan Helikopter. - Foto Khalid Latip
Pasukan paramedik membawa mangsa kemalangan di Jalan Durian di antar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) Kuching menggunakan Helikopter. - Foto Khalid Latip

'Terima Kasih ADUN Repok'

SARIKEI: Keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datuk Seri Huang Tiong Sii berjaya menyelamatkan nyawa seorang wanita yang parah dalam kemalangan di Jalan Durian, di sini kelmarin.

Malah, tindakan pantas wakil rakyat itu menyediakan helikopter bagi menerbangkan mangsa kemalangan terbabit bagi menjalani rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching amat dipuji.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, mangsa yang berusia 20 tahun patah kedua-dua kaki dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk rawatan kecemasan, namun perlu kesnya perlu dirujuk kepada pasukan pakar di HUS.

Jurucakap Pusat Khidmat DUN Repok ketika dihubungi mengesahkan maklumat itu, malah memaklumkan inisiatif berkenaan digerakkan di bawah koordinasi Tiong Sii yang kini berada di luar negara atas urusan rasmi.

“Pusat Khidmat DUN Repok menerima panggilan kecemasan dari Hospital Sarikei memaklumkan keadaan mangsa parah dan perlu dihantar segera ke HUS untuk rawatan lanjut.

“Bertindak atas maklumat diterima, kami memaklumkannya kepada Yang Berhormat (YB) melalui wakilnya, Kapitan Ling Dien Yong sebelum beliau mengarahkan helikopter disediakan segera untuk menerbangkang mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang, berkata mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya sebelum motosikalnya bertembung sebuah kereta.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sarikei. Bagaimanapun, pemandu kereta hanya cedera ringan. Kita sudah mengambil butiran pemandu kereta dan menyiasat sama ada dia di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya,” katanya.

Berita Harian X