Rabu, 22 Mei 2019 | 4:35pm
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof menunjukkan antara komputer riba yang disamun dari sebuah makmal komputer sekolah di Rawang. - Foto NSTP
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof menunjukkan antara komputer riba yang disamun dari sebuah makmal komputer sekolah di Rawang. - Foto NSTP

Pengawal keselamatan curi komputer riba sekolah

GOMBAK: Seorang pengawal keselamatan yang baru bekerja 11 hari di sebuah sekolah di Rawang, di sini, memecah masuk makmal komputer sekolah terbabit dan melarikan 23 buah komputer riba bernilai lebih RM20,000.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, polis menerima makluman kejadian daripada seorang guru sekolah berkenaan pada 13 Mei lalu.

Katanya, susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menahan lelaki berusia 31 tahun itu.

“Semakan mendapati, suspek memiliki 16 rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.

“Hasil soal siasat terhadap suspek utama, seramai sembilan lelaki termasuk enam warga Myanmar berusia lingkungan 25 hingga 37 tahun ditahan di sekitar Kuala Lumpur dan Selayang,” katanya kepada pemberita, di IPD Gombak, hari ini.

Samsor berkata, penahanan suspek membawa kepada penemuan semula 18 komputer riba yang dicuri.

“Kita percaya komputer riba ini dijual dengan harga RM100 sehingga RM200 kepada kenalan suspek sekitar kawasan Rawang dan Selayang.

“Siasatan juga mendapati pengawal keselamatan terbabit memecah masuk makmal komputer bersama seorang suspek warga Myanmar yang ditahan itu,” katanya.

Samsor berkata, suspek utama dituduh di Mahkamah Majistret Selayang, semalam di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan suspek mengaku salah serta dijatuhkan hukuman 18 bulan penjara.

“Sembilan suspek lain masih direman untuk siasatan lanjut.

“Polis masih giat mengesan suspek yang masih bebas dan baki komputer yang masih hilang,” katanya.

Berita Harian X