Selasa, 21 Mei 2019 | 2:41pm

Rogol anak saudara OKU, lelaki dijel 30 tahun, 10 sebatan

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan terhadap pemotong rumput kerana kesalahan merogol anak saudaranya yang juga pelajar kurang upaya kategori lembam.

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan itu selepas tertuduh berusia 41 tahun dari Besut mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan kerana melakukan sumbang mahram.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol mangsa berusia 14 tahun di sebuah rumah di Besut, antara jam 2 petang hingga 6 petang pada 2 Mei lalu.

Selain itu, tertuduh mengulangi kesalahan sama di lokasi sama antara jam 2 petang hingga 6 petang pada 5 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan berasingan bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 8 Mei lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, guru mangsa bertanya kepada mangsa selepas melihat pelajarnya itu muram dan tidak memberi perhatian dalam pelajaran ketika berada dalam kelas di sebuah sekolah di daerah ini kira-kira jam 9 pagi pada 7 Mei lalu.

Guru wanita itu berjumpa dan bertanya masalah dihadapinya sebelum mangsa memaklumkan dirogol tertuduh.

Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Jerteh, tertuduh ditahan di sebuah rumah di Besut kira-kira jam 1 pagi pada 8 Mei lalu.

Tertuduh (tengah) dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini kerana kerana merogol anak saudaranya yang juga pelajar kurang upaya kategori lembam. - NSTP/Rozainah Zakaria
Tertuduh (tengah) dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini kerana kerana merogol anak saudaranya yang juga pelajar kurang upaya kategori lembam. - NSTP/Rozainah Zakaria
Berita Harian X