Sabtu, 18 Mei 2019 | 9:48am
GEORGE Abd Rakman (dua dari kiri) menunjukkan gambar suspek yang diburu dan barangan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. - Foto ihsan polis

Polis tahan dua lelaki disyaki aktif samun bersenjata

KOTA KINABALU: Polis percaya dapat menyelesaikan lima kes samun di daerah ini apabila berjaya menahan dua suspek dalam serbuan di Kampung Sembulan, 15 Mei lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 24 dan 25 tahun disyaki aktif melakukan kegiatan samun bersenjatakan parang sejak awal tahun ini, di sini, diberkas pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, berkata suspek ditahan susulan kes samun sepasang suami isteri di hadapan sebuah kedai di Sadong Jaya, Karamunsing, 12 Mei lalu.

“Pasangan suami isteri berusia 19 dan 21 tahun terbabit dilaporkan disamun dua lelaki dengan diacukan parang pada leher sebelum dua telefon bimbit milik mangsa dilarikan.

“Bertindak atas laporan, sepasukan polis melakukan serbuan di Kampung Sembulan dan menahan dua suspek disyaki terbabit kes samun itu,” katanya.

Dalam serbuan itu, George berkata, polis turut merampas beberapa barangan, termasuk lima tablet dan telefon bimbit serta parang panjang 44 sentimeter.

“Modus operandi suspek ialah menggunakan sebilah parang untuk menakut-nakutkan sebelum merampas barang berharga milik mangsa dan melarikan diri.

“Semakan juga mendapati suspek warga tempatan berusia 25 tahun memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ragut. Seorang lagi suspek adalah warga asing.

“Dengan penahanan suspek, kita percaya menyelesaikan lima kes samun di daerah ini. Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan seorang lagi suspek warga Filipina dikenali sebagai Rafi Jakarta @ Duk, 30,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X