Khamis, 16 Mei 2019 | 2:30pm

Penganggur menangis rayu kes rogol remaja bawah umur

AYER KEROH: Seorang penganggur menangis ketika membuat rayuan bagi mengurangkan wang jaminan di Mahkamah Sesyen, hari ini, selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol dua remaja perempuan bawah umur di Melaka Tengah, tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 26 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail dan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan di hadapan Elesabet Paya Wan, tertuduh didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun di tempat letak kereta di hadapan sebuah rumah di Taman Gadong Perdana kira-kira jam 4 pagi, pada 30 Mac 2018.

Bagi dua pertuduhan di hadapan Norma, tertuduh didakwa merogol seorang lagi gadis bawah umur yang juga berusia 15 tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Perak, Melaka Tengah, kira-kira jam 3 pagi, pada 28 Ogos 2018 dan jam 9 pagi keesokan harinya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirda Mohd Yunos dan Shazreen Nadia Saaban.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat rayuan sambil menangis teresak-esak memohon jumlah jaminannya dikurangkan kerana dia tidak bekerja dan ibunya kini nazak di hospital.

Norma dalam penghakimannya menawarkan jaminan RM5,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu semua mangsa yang juga saksi pendakwaan, manakala Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000.

Tertuduh, Muhammad Shahril Ambry Pazeli, 26, diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol dua gadis bawah umur di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad
Tertuduh, Muhammad Shahril Ambry Pazeli, 26, diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol dua gadis bawah umur di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X