Isnin, 13 Mei 2019 | 3:57pm
KETUA Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Polis belum temui petunjuk baharu kes jururawat hilang

PUTRAJAYA: Polis belum menemui sebarang petunjuk baharu berhubung jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, yang hilang sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali, mengesahkan pihaknya juga sudah menghubungi ahli keluarga

mangsa termasuk suaminya untuk mengumpul maklumat bagi membantu siasatan.

“Setakat ini kita masih belum temui sebarang petunjuk baharu,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata polis juga membuka kertas siasatan bagi orang hilang untuk kes berkenaan.


Siti Kharina Mohd Kamarudin. - Foto ihsan pembaca

“Kami menerima laporan kehilangan mangsa di Balai Polis Datuk Abu Bakar Baginda dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesannya melalui Kertas Siasatan Polis Orang hilang,” katanya.

Semalam, pihak pengurusan Hospital Serdang mengesahkan kakitangannya itu kali terakhir dilihat memandu kereta jenis Honda City di kawasan parkir hospital itu pada jam 4 petang Rabu lalu.

Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan turut mengesahkan Siti Kharina tidak hadir bertugas pada Khamis lalu dan kali terakhir dilihat ketika sedang memandu kereta berwarna putih itu dengan nombor pendaftaran BEY 1361.

Dr Rohana turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan yang boleh membantu usaha mengesan kakitangan terbabit supaya menghubungi polis atau adik Siti Kharina iaitu Siti Khairani melalui talian 012-2587764.

Berita Harian X