Jumaat, 10 Mei 2019 | 2:44pm
PEGAWAI Penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak menjalankan siasatan di kilang kelapa sawit di Pantai Remis, Manjung selepas seorang pekerja maut terjatuh semasa menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan. - Foto Ihsan JKKP.

Pekerja kilang maut terjatuh

SERI MANJUNG: Seorang pekerja kilang kelapa sawit di Pantai Remis, dekat sini, maut dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira enam meter ketika melakukan kerja penyelenggaraan di bahagian luar dinding dandang stim di premis terbabit, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, lelaki warga tempatan, V Ravindran, 28, dikatakan sedang berdiri di atas paip stim untuk menjalankan kerja pengukuran di bahagian luar dinding dandang sebelum mangsa tergelincir lalu terjatuh ke lantai.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Zamzurin Maarof, berkata mangsa yang parah di bahagian kepala dikejarkan ke Klinik Kesihatan Changkat Kruing, di sini, namun disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat. Berikutan itu, JKKP Perak mengarahkan sepasukan pegawai untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Susulan siasatan dijalankan, satu notis larangan dan lima notis perbaikan dikeluarkan kepada majikan.

“Ia membabitkan kegagalan majikan mewujudkan prosedur kerja selamat dan sistem permit bekerja untuk kerja di tempat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, majikan juga didakwa gagal mengemas kini penaksiran risiko dan menyediakan latihan untuk kerja di tempat tinggi kepada pekerja.

“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati ada pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Tahun ini hingga semalam, ada enam kes maut membabitkan pekerja jatuh dari tempat tinggi dan semua majikan dinasihat agar memastikan aktiviti kerja tempat tinggi mengikut Garis Panduan Pencegahan Jatuh di Tempat Kerja yang dikeluarkan JKKP pada 2007,” katanya.

Zamzurin berkata, JKKP memandang serius setiap kemalangan membabitkan pekerja mahupun orang awam kerana kejadian seumpama itu boleh dielakkan.

“Jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif, termasuk mengikut kaedah dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC), kemalangan di tempat kerja boleh dielakkan.

“Oleh itu, semua majikan digesa mempertingkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja mereka bagi mengelakkan kemalangan berlaku,” katanya.

Berita Harian X