SARIKEI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas 1,100 batang kayu bakau bernilai RM385,000 dalam serbuan di dua lokasi berasingan, di sini, kelmarin.
Kayu bakau dipercayai ditebang secara haram di perairan Sarikei itu dirampas hasil risikan anggota Unit Risik Marin PPM Sarikei dan Jabatan Hutan Sarikei.
Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman, berkata operasi bersama dari jam 8 pagi hingga 6 petang itu dijalankan bagi membanteras kegiatan mencuri kayu bakau di kawasan perairan Sarikei.
“Rampasan pertama dilakukan di Sungai Lobak Batu, Batang Selalang, apabila pasukan menemui dua longgokan membabitkan sebanyak 500 batang kayu bakau pelbagai saiz.
“Dalam serbuan kedua di Sungai Kerapu, Batang Selalang, sebanyak 600 batang kayu bakau pelbagai saiz dalam lima longgokan dirampas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua kayu bakau berkenaan dipercayai ditebang atau diperoleh secara tidak sah kerana tiada sebarang tanda hak milik dan tanda cukai.
“Malah, kawasan terbabit adalah kawasan hutan simpan (bakau). Kayu bakau yang dirampas kemudian diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarikei untuk tindakan lanjut,” katanya.