Khamis, 9 Mei 2019 | 3:28pm

Pengedar dadah maut terjun keluar daripada van polis

KUALA LUMPUR: Seorang pengedar dadah maut selepas melompat keluar daripada van pasukan polis di hadapan sebuah kondominium di Cheras, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun terbabit dalam perjalanan ke lokap selepas ditahan polis akibat pemilikan beberapa jenis dadah termasuk ganja, ekstasi serta syabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ketika dalam perjalanan, suspek yang digari membuka pintu van itu lalu terjun keluar untuk meloloskan diri daripada tahanan polis.

Katanya, suspek kemudian jatuh tersembam di atas jalan raya.

“Akibat tindakannya itu, lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah lampau termasuk aktiviti mengedar dadah secara kecil-kecilan,” katanya pada sidang media, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini,

Pada masa sama, Mazlan berkata pihaknya akan mengambil keterangan dua anggota polis berpangkat Lans Koperal terbabit dalam penahanan itu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 224 KK dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata polis sedang giat mengesan individu menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna kelabu yang melarikan diri ketika cuba diperiksa di Jalan Pudu, di sini, semalam.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kenderaan itu disewa daripada seorang pemilik wanita.

“Usaha menjejak penyewa serta individu yang berada dalam MPV itu masih diteruskan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh tampil membuat laporan di balai polis berdekatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmy Visunathan Abdullah, dilaporkan berkata kejadian itu berlaku ketika sepasukan anggota IPK Kuala Lumpur melakukan Operasi Tapis (Op Tapis) di lokasi berkenaan pada jam 5.20 petang.

Katanya, ketika operasi dilakukan, sebuah Toyota Vellfire yang bercermin gelap dikesan berhenti dengan enjin masih hidup di tepi jalan berhampiran sebuah hotel.

“Ketika polis menghampiri MPV terbabit untuk pemeriksaan, tiba-tiba pemandunya memecut laju dan hampir melanggar kereta polis yang diletakkan di lokasi berhampiran.

“Anggota polis kemudian mengejar kenderaan itu dan ketika itu, kenderaan suspek melanggar sebuah kereta jenis Nissan Almera berhampiran sebuah bank di Jalan Pudu, menyebabkan MPV itu berhenti.

“Suspek yang berada di dalam kereta diarahkan keluar, namun kenderaan itu sekali lagi dipecut hingga memaksa polis melepaskan lima das tembakan ke arah MPV terbabit,” katanya.

Berita Harian X