Isnin, 6 Mei 2019 | 5:23pm
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Tumpu aspek KKP elak kemalangan di tempat kerja

KUALA LUMPUR: Majikan dan pekerja digesa memberikan tumpuan penuh terhadap aspek Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bagi mengelakkan kemalangan di tempat kerja.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kes dua pekerja warga Bangladesh yang maut selepas dihempap kayu palet dan timbunan kotak kurma di sebuah gudang dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam adalah satu lagi contoh pengabaian KKP.

Katanya, kemalangan terbabit dapat dielakkan sekiranya kedua-dua pihak berkenaan menitik beratkan aspek keselamatan dan perhatian serius perlu diberikan terhadap pengawasan bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

“Insiden ini boleh dicegah jika pihak majikan dan pekerja mengambil berat aspek KKP termasuk memeriksa keadaan rak dan susunan kotak-kotak terbabit.


Dua pekerja warga Bangladesh maut selepas dihempap kayu palet dan timbunan kotak kurma di sebuah gudang dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. - Ihsan Bomba

“Saya berharap pihak berkuasa akan turut menyiasat sama ada pemilik gudang itu menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan.

“Jika ia wujud, adakah anggota jawatankuasa telah mengambil tindakan yang perlu untuk mengelak kejadian seperti itu daripada berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 menggariskan mana-mana tempat bekerja yang mempunyai 40 atau lebih pekerja perlu menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan yang dianggotai wakil-wakil majikan dan pekerja.

Katanya, fungsi jawatankuasa tersebut adalah untuk mengkaji prosedur keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, menyiasat sebarang aduan atau perkara berkaitan yang dibangkitkan dan mengadakan perbincangan secara tetap dengan majikan mengenai isu-isu berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

“Di bawah akta itu juga, semua pihak termasuk majikan, pekerja, mereka yang bekerja sendiri, pereka, pengeluar, pengimport, pengilang dan vendor bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja .

“Seksyen 15 (2) (a) OSHA juga menetapkan majikan membuat persediaan sistem kerja dan penyelenggaraan, setakat yang praktik, adalah selamat dan tiada risiko kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan itu, jelas menunjukkan bahawa majikan perlu bertanggungjawab menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat selain wajib memberi maklumat, arahan, latihan dan pengawasan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja.

Bagaimanapun, katanya, pekerja juga harus menjaga keselamatan dan kesihatan mereka sendiri dengan mematuhi arahan atau langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan umpamanya pemakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi mencegah kecederaan atau kematian.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, dua pekerja berusia 40-an itu dikatakan sedang melakukan kerja mengeluarkan kotak berisi kurma dari rak setinggi tiga tingkat sebelum tiba-tiba kayu palet jatuh menghempap mereka.

Berita Harian X