Isnin, 6 Mei 2019 | 2:24pm

Kumpulan KTM Duke samun premis 24 jam tumpas

SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan kumpulan KTM Duke yang aktif menyamun premis 24 jam sejak awal Januari lalu, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata kumpulan berkenaan tumpas selepas enam ahlinya ditahan di lima lokasi berasingan sekitar Lembah Klang.

Katanya, dengan tertangkapnya ahli kumpulan itu, pihaknya percaya 27 kes termasuk sembilan kes berlaku di Kuala Lumpur, dengan anggaran kerugian RM68,000 berjaya diselesaikan.

"Kumpulan ini yang semua ahlinya tidak berkerja menggunakan motosikal KTM Duke serta bersenjatakan parang ketika melakukan samun.

"Suspek mensasarkan premis yang beroperasi 24 jam seperti KK Mart, 7-Eleven, kedai runcit serta stesen minyak dan mereka akan mengambil wang dan rokok.

"Modus operandi, suspek akan bergerak awal pagi dan menyerbu masuk dengan cepat selain mengacukan parang bagi menakutkan pekerja premis," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadzil berkata, ada kejadian yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan ketika disamun kumpulan terbabit.

Susulan dari tangkapan berkenaan, pihaknya merampas dua motosikal KTM Duke dan parang serta turut menemui barangan yang disamun.

Fadzil berkata, hasil siasatan juga mendapati motosikal yang digunakan kumpulan itu dilaporkan dicuri di Selayang dan Sri Muda, dekat sini.

"Enam suspek yang ditahan itu berusia antara 21 hingga 28 tahun kini direman seminggu bermula semalam.

"Hasil semakan, kesemua suspek positif dadah selain mempunyai rekod lampau membabitkan kes samun berkumpulan, curi kenderaan dan dadah," katanya.

Fadzil berkata, pihaknya kini sedang mengesan beberapa lagi kumpulan yang turut melakukan jenayah serta menggunakan modus operandi yang sama.

"Kita lihat kes menyamun premis 24 jam ini semakin meningkat dan ini menyebabkan keadaan tidak selesa dan masyarakat akan berasa takut," katanya.

FADZIL Ahmat menunjukkan tayangan video camera litar tertutup dan barang rampasan dalam kes samun bersenjata kedai 24jam Geng KTM Duke pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir
FADZIL Ahmat menunjukkan tayangan video camera litar tertutup dan barang rampasan dalam kes samun bersenjata kedai 24jam Geng KTM Duke pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir
Berita Harian X