Selasa, 30 April 2019 | 12:56pm

IPD Gombak serbu kediaman mewah pusat judi dalam talian

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Indonesia disyaki terbabit kegiatan judi dalam talian di sebuah rumah tiga tingkat di Puteri Height, Rawang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata suspek ditahan dalam serbuan dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Daerah Gombak kira-kira jam 9 malam.

Katanya, sindiket itu dipercayai menerima pertaruhan sehingga RM30,000 hingga RM40,000 sebulan.

“Serbuan dilakukan hasil maklumat mengenai satu sindiket perjudian yang aktif sejak sebulan lalu di sebuah kawasan kediaman mewah.

“Kediaman itu turut memiliki kawalan keselamatan 24 jam dipercayai bagi melindungi kegiatan mereka.

“Suspek yang ditahan adalah lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 35 tahun, manakala seorang lagi lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Samsor berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas peralatan perjudian dalam talian termasuk telefon bimbit, komputer dan komputer riba, modem, buku senarai nombor telefon serta resit dipercayai digunakan untuk kegiatan perjudian.

“Semua yang ditahan dipercayai bertanggungjawab menguruskan pelanggan menggunakan aplikasi WeChat, WhatsApp dan Telegram, selain memantau kegiatan mereka.

“Kita syak mereka juga menggunakan aplikasi perbankan dalam talian untuk transaksi pembayaran untuk pertaruhan,” katanya.

Berita Harian X