Isnin, 22 April 2019 | 2:00pm

AirAsia sahkan bayi dua bulan meninggal dunia dalam pesawat

KUALA LUMPUR: Seorang bayi berusia dua bulan meninggal dunia dalam pesawat AirAsia yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia, hari ini.

Jurucakap AirAsia memaklumkan kru penerbangan meminta bantuan perubatan selepas pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.

“AirAsia mengesahkan satu kecemasan perubatan membabitkan seorang bayi dalam penerbangan D7236 dari Kuala Lumpur ke Perth pagi ini.

“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang adalah keutamaan kami, dan dengan mengikut prosedur, kru penerbangan meminta bantuan perubatan ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth.

“Ketibaan pesawat kemudian disambut oleh pasukan pakar perubatan dan pihak yang berkaitan termasuk polis Australia Barat (WA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jurucakap AirAsia berkata, pihaknya tidak dapat memberikan komen lanjut berkenaan keadaan perubatan bayi terbabit

“Pihak kami mengucapkan takziah kepada keluarga bayi malang berkenaan.

“Penerbangan D7237 dari Perth ke Kuala Lumpur yang dijadualkan berlepas pada jam 6.50 pagi tadi ditunda dan berlepas empat jam kemudian pada jam 11 pagi.

“AirAsia memohon maaf atas kesulitan dan akan membantu dan membuat tempahan semula untuk penumpang yang mempunyai penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth, tengah hari ini,” katanya.

Terdahulu, BH melaporkan seorang bayi berusia dua bulan dilaporkan meninggal dunia dalam pesawat AirAsia yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Perth, Australia.

Memetik laporan laman web abc.net.au, bayi malang itu dilaporkan mengalami apa yang digelar syarikat penerbangan sebagai ‘kecemasan perubatan’ ketika berada dalam penerbangan D7236, yang tiba dari ibu kota Malaysia itu awal pagi ini.

Berita Harian X