Isnin, 22 April 2019 | 10:22am
ANTARA barangan curi yang dirampas anggota polis daripada suspek pecah rumah warga asing pada kejadian 14 April lalu. - Foto ihsan PDRM
ANTARA barangan curi yang dirampas anggota polis daripada suspek pecah rumah warga asing pada kejadian 14 April lalu. - Foto ihsan PDRM

Tukang pecah masuk rumah pelanggan diberkas polis

TAWAU: Seorang tukang rumah ditahan kerana memecah masuk rumah bekas pelanggannya dan mengambil pelbagai barangan berharga ketika pemiliknya tiada di rumah.

Suspek warga asing berumur 49 tahun itu ditahan di pekarangan Hospital Tawau, di sini, kira-kira jam 7 pagi kelmarin berdasarkan laporan dibuat mangsa pada 14 April lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor, berkata suspek yang mengetahui mangsa tiada di rumah memecah masuk rumah bekas pelanggannya itu di sebuah kawasan perumahan, di sini pada 14 April lalu.

“Mangsa seorang peniaga membuat laporan polis jam 1.30 tengah hari pada hari yang sama selepas mendapati keadaan rumahnya yang berselerak selain beberapa barangan berharga didapati hilang dipercayai dicuri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian D9 Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan Ops Kesan sebelum menahan suspek di kawasan pekarangan Hospital Tawau, pagi kelmarin.

“Dengan dipandu arah oleh suspek, polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan berasingan di sebuah kedai dan bilik sewa sebelum menemui barangan curi.

“Antara barang curi yang dirampas termasuk kamera (DSLR) jenama Nikon berserta lensa, komputer riba berserta kabel pengecas, seutas jam tangan dan beg galas jenama Apacs,” katanya.

Nor Azizulkifli berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan jenayah pecah rumah itu seorang diri selain pernah bekerja sebagai tukang ubah suai rumah di rumah terbabit.

“Suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana pecah rumah,” katanya.

Berita Harian X