Sabtu, 20 April 2019 | 2:46pm

Maut dihempap kayu balak

SARIKEI: Seorang pekerja balak maut selepas sebatang kayu balak menghempapnya dalam kejadian di Kilang Kayu Selalang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa, Akau Pilang, 46, maut di lokasi kejadian selepas cedera parah di dada ketika mangsa dalam proses memunggah kayu balak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superitendan Awang Arfian Awang Bujang, berkata kayu balak berkenaan terburai daripada ikatan selepas tali yang mengikat longgokan balak terputus.

“Difahamkan, ikatan tali itu terputus mengakibatkan satu balak berkenaan menjunam ke arah mangsa yang ketika itu berada dalam bahagian kren.

“Kejadian berlaku pantas dengan mangsa tidak sempat lari menyelamatkan diri. Mangsa disahkan meninggal dunia serta merta,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Awang Arfian berkata, hasil siasatan tidak menemui sebarang unsur jenayah mahupun sabotaj dan kejadian dikategorikan sebagai kemalangan di tempat kerja.

Susulan itu katanya, satu laporan berhubung kejadian dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Jakar, di sini.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk dibedah siasat,” katanya.

Berita Harian X