Rabu, 17 April 2019 | 8:42pm

Bayi ditinggal dibalut kain batik, plastik

GOMBAK: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di hadapan rumah seorang penduduk di Taman Desa Kundang, Rawang di sini, pagi tadi.

Bayi dipercayai baru beberapa jam dilahirkan itu ditinggalkan di hadapan pintu pagar dalam keadaan berbalut kain batik dan plastik sebelum ditemui anak pemilik rumah itu kira-kira jam 10.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata ketika kejadian, pemilik rumah berkerja di Kepong sebelum dihubungi anaknya bagi memaklumkan penemuan bayi terbabit.

“Wanita itu bergegas pulang dan tiba di rumah kira-kira jam 12.20 tengah hari bagi memeriksa keadaan bayi berkenaan sebelum membuat laporan polis.

“Bayi itu dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu tampil membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X