Rabu, 17 April 2019 | 6:13pm

Dia curi, dia lapor polis

KUALA TERENGGANU: Buat laporan polis kes wang sebuah koperasi pendidikan di negeri ini hilang, tetapi rupanya mereka sendiri yang curi.

Itu dipercayai dilakukan dua beradik, termasuk si kakak yang bekerja sebagai akauntan di koperasi berkenaan, yang disyaki mencuri wang koperasi itu berjumlah RM31,000 pada Ahad lalu.

Sumber berkata, kehilangan wang berkenaan disedari seorang kakitangan bahagian kewangan koperasi itu, selepas pemeriksaannya mendapati tiga daripada dua beg berisi wang baki wang agihan ketika mesyuarat di Dungun berkurangan.

Katanya, sehari sebelum kejadian iaitu kira-kira jam 12.30 tengah hari Sabtu, suspek berusia 40-an mengarahkan seorang kakitangan di situ meletakkan tiga beg berisi baki wang agihan itu di dalam bilik kebal di pejabat berkenaan.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 9.15 pagi Ahad, kakitangan itu menyedari wang dalam dua daripada tiga beg berkenaan berkurangan, lalu memaklumkannya kepada suspek.

“Suspek yang kononnya terkejut dengan kehilangan wang itu kemudian ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk membuat laporan,” katanya.

Sumber berkata, mengejutkan apabila polis yang membuat semakan rakaman kamera litar tertutup di pejabat berkenaan mendapati dua individu dengan seorang daripadanya menyerupai akauntan berkenaan mencuri wang di dalam beg yang diletakkan dalam bilik kebal itu.

“Susulan itu wanita berkenaan ditahan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, manakala adik perempuannya berusia 34 tahun ditahan di rumahnya di Bukit Payong, Marang, pagi kelmarin (Isnin).

Sumber berkata, suspek dipercayai sengaja membuat laporan polis untuk mengaburi mata dan mengelak kegiatan jahatnya dihidu.

Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Ab Karim @ Isa membenarkan kedua-dua suspek direman tiga hari bermula Isnin hingga hari ini.

Namun, perintah tahanan reman itu dilanjutkan dua hari lagi sehingga esok untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Berita Harian X