Selasa, 16 April 2019 | 4:09pm
KETUA Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim. - NSTP/Adnan Ibrahim
KETUA Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim. - NSTP/Adnan Ibrahim

Budak 12 tahun, bapa saudara ditahan curi duit tabung masjid

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan bapa saudaranya yang dipercayai aktif dalam kes mencuri duit tabung beberapa masjid di sekitar daerah ini, ditahan di Kluang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, berkata penahanan kanak-kanak berkenaan dan bapa saudaranya yang berusia 36 tahun itu dibuat susulan laporan pengurusan sebuah masjid di Parit Sulong, Batu Pahat mengenai tabung derma masjid dipecah dan dicuri.

“Hasil soal siasat ke atas kedua-dua suspek mendedahkan mereka terbabit dalam tiga kes pecah tabung masjid berlainan di sekitar Batu Pahat.

“Suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut, manakala anak saudaranya dibebaskan dengan jaminan polis kerana masih bersekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhan berkata, hasil ujian saringan air kencing, suspek berusia 36 tahun itu positif dadah, selain mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun atau dengan denda atau sebat.

“Polis menasihatkan pengurusan masjid untuk mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan insiden pecah tabung dan kecurian duit derma berulang dengan memasang besi penghadang, kunci yang berkualiti selain pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar masjid.

“Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah yang berlaku di Batu Pahat kepada kepada Pusat Kawalan Daerah Batu Pahat di talian 07-4343999 atau di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Berita Harian X