Isnin, 15 April 2019 | 5:53pm
MANGSA kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Lebuh AMJ berhampiran Melaka Sentral. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
MANGSA kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Lebuh AMJ berhampiran Melaka Sentral. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

Warga emas maut kemalangan

MELAKA: Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ), berhampiran Melaka Sentral, di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 10.30 pagi itu, mangsa, Husin Jaya, 73, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata sebelum kejadian, kedua-dua kenderaan terbabit iaitu motosikal Honda EX5 dan kereta Honda City dalam perjalanan dari arah Peringgit menghala ke Bachang, di sini.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal seorang diri berlanggar dengan Honda City ketika menukar lorong dari kiri ke kanan.

“Perlanggaran berlaku di bahagian hadapan sebelah kiri Honda City yang dipandu wanita berusia 27 tahun,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Afzanizar berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, sebelum mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X