Khamis, 11 April 2019 | 3:23pm
Hamdan (dua dari kanan) bersama saksi, Shahrom (kanan) melihat van EMRS di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya bagi inkues Muhammad Adib. - NSTP/Saddam Yusoff
Hamdan (dua dari kanan) bersama saksi, Shahrom (kanan) melihat van EMRS di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya bagi inkues Muhammad Adib. - NSTP/Saddam Yusoff

Pihak berkepentingan inkues teliti EMRS

SUBANG JAYA: Pihak berkepentingan dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, hari ini melawat Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, bagi melihat van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) untuk penelitian lanjut.

Pihak berkepentingan itu termasuk Pegawai Pengendali, Hamdan Hamzah, Faten Hadni Khairuddin dan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Bagaimanapun, lawatan kali ini tidak disertai Koroner Rofiah Mohamad, manakala saksi pakar yang hadir ialah Ketua Jabatan Forensik HKL, Datuk Dr Mohd Shah Mahmood, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Pasukan itu tiba di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya pada jam 11.30 pagi dan meluangkan masa lebih dari satu jam untuk meneliti EMRS dan berbincang mengenai isu yang dibangkitkan sebelum ini iaitu berhubung kecederaan parah terhadap Muhammad Adib, 24, dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Terdahulu, Hamdan dalam prosiding mahkamah memohon supaya Mahkamah Koroner membenarkan pihak pendakwaan untuk melihat keadaan van EMRS itu sebelum meneruskan inkues dengan soalan seterusnya kepada Dr Shahrom yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (dahulunya, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia).

Bagaimanapun, media hanya dibenarkan berada selama 15 minit bagi tujuan mengambil gambar saja.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.

Prosiding inkues bersambung esok.

Berita Harian X