Rabu, 10 April 2019 | 3:38pm
Anifah (tengah) hadir pada Perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Parlimen Kimanis di Mahkamah Tinggi, Kota Kinabalu. - NSTP/Malai Rosmah Tuah

'Parlimen Kimanis sudah tiada wakil rakyat'

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman, yang hadir pada perbicaraan petisyen pilihan raya bagi kerusi Parlimen berkenaan hanya tersenyum apabila seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa kawasan itu kini ‘tiada wakil rakyat’.

Dg Damit Sigun, 55, dari Kampung Binsulok, Membakut, pada sesi soal balas oleh peguam, Ansari Abdullah yang mewakili Anifah, berkata kedudukan bekas Menteri Luar itu kini tergantung kerana sudah keluar UMNO.

Saksi kelima perbicaraan itu berkata, beliau hanya tahu Anifah adalah Ahli Parlimen Kimanis, namun berpendapat kedudukan wakil rakyat berkenaan tergantung selepas keluar daripada UMNO.

Ansari: Ada puan tengok TV Anifah hadir di Parlimen sebagai wakil rakyat Kimanis?

Dg Damit: Ada dulu, sekarang tergantung.

Ansari: Siapa yang gantung Anifah daripada Ahli Parlimen?

Dg Damit: Tidak tahu.

Ansari: Siapa yang beritahu Anifah digantung?

Dg Damit: Kan dia sudah keluar UMNO.

Ansari: Jadi, fahaman kamu, dia keluar UMNO, dia tergantung sebagai Ahli Parlimen?

Dg Damit: Ya.

Ditanya sama ada kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Mohd Ariffin Arif juga tergantung kerana menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dg Damit bagaimanapun menjawab tidak tahu kerana tidak mengikuti perkembangan.

“Tidak tahu sebab tidak mengikuti perkembangan mereka sebab kami orang kampung,” katanya.

Dg Damit berkata, beliau sendiri meninggalkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerana mengikut jejak pemimpin parti itu yang keluar parti.

Beliau turut mengakui sebelum ini menjadi ahli Parti Bersatu Sabah (PBS), tetapi meninggalkan parti itu apabila UMNO menguasai Parlimen Kimanis.

Anifah hadir bagi mengikuti perbicaraan petisyen berkenaan pada kira-kira jam 10.50 pagi dan keluar selepas Hakim Lee Heng Cheong menangguhkan perbicaraan pada jam 12.30 tengah hari.

Petisyen difailkan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang pada 18 Jun lalu, menamakan Anifah sebagai responden pertama, manakala Pegawai Pilihanraya Parlimen Kimanis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua dan ketiga.

Karim diwakili barisan peguam diketuai Frederick Chang Tyn Chi, manakala peguam, Faizal Sarbi dan Abdul Fikri Jaafar mewakili SPR.

Berita Harian X