Sabtu, 6 April 2019 | 12:45pm

Pencuci kereta ditahan rogol adik ipar

KUCHING: Perbuatan seorang lelaki yang merogol adik iparnya berusia 15 tahun terbongkar apabila dia ditahan polis, di sini, kelmarin.

Suspek yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai pencuci kereta ditahan di tempat kerjanya di Tabuan, di sini pada jam 9.50 malam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, suspek direman selama empat hari bermula semalam untuk membantu siasatan.

“Perbuatan keji lelaki itu diketahui susulan laporan polis dibuat ibu mangsa selepas remaja itu tidak pulang ke rumah sejak Rabu lalu sehingga dihantar suspek keesokan harinya.

“Namun, mangsa yang dihantar suspek ke rumah bapa saudaranya bertindak menceritakan kejadian sebenar selepas disoal siasat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Samarahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Aidil berkata, mengikut siasatan awal, mangsa mengaku sudah melakukan hubungan seks sebanyak tiga kali bersama abang iparnya di beberapa lokasi dan waktu berlainan sejak Disember tahun lalu.

“Kejadian pertama berlaku di sebuah rumah pekerja di sini ketika mangsa sedang tidur di ruang tamu, manakala, kejadian kedua tidak diingati mangsa.

“Kali terakhir adalah pada Rabu lalu dan mangsa berkata suspek tidak pernah mengugutnya,” katanya.

Menurutnya, kes masih dalam siasatan dan mangsa kini dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan lanjut.

Berita Harian X