Jumaat, 29 March 2019 | 2:51pm
KENDERAAN Toyota Harrier yang dipandu Najmi terbabit dalam kemalangan di Kilometer 43.3 Jalan Sungai Petani-Baling. - Foto IHSAN PEMBACA
KENDERAAN Toyota Harrier yang dipandu Najmi terbabit dalam kemalangan di Kilometer 43.3 Jalan Sungai Petani-Baling. - Foto IHSAN PEMBACA

ADUN Kupang cedera terbabit kemalangan

BALING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Najmi Ahmad, 68, cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kampung Landak, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9. 30 pagi itu, beliau dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya ke pekan Kupang sebelum berlaku kemalangan di kilometer (km) 43.4 Jalan Sungai Petani-Baling, Simpang Tiga, Kampung Landak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Mohd Yusuf Shaari, berkata kemalangan berlaku apabila kereta jenis Toyota Harrier dipandu mangsa berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Viva dari arah Kulim menuju Grik.

Beliau berkata, kereta dipandu ADUN Kupang itu dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki simpang sebelum terlanggar kereta Perodua Viva dari arah bertentangan.

“ADUN berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya menuju pekan Kupang dan terbabit kemalangan di simpang Kampung Landak, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yusuf berkata, semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu termasuk pemandu dan penumpang kereta Perodua Viva, mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Baling (HB).

Sementara itu, Najmi hanya cedera ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang ke rumah, ” katanya yang menyiasat kes mengikut peraturan lalu lintas 3(2)(b) LN 166/59.

Berita Harian X