Isnin, 25 March 2019 | 4:39pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Padah menyamar minta sumbangan

TAMPIN: Tiga sahabat masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyamar sebagai penjawat awam untuk mendapatkan sumbangan, minggu lalu.

Majistret Tan Chai Wei menjatuhkan hukuman itu terhadap Azmir Aznan, 44; Muhd Azali Mohamed Yusof, 50; dan Zainudin Sanip, 52, selepas ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepada mereka.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama menyamar sebagai penjawat awam bagi tujuan mengutip sumbangan makan malam persatuan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Kecil Gemas di sini, pada jam 12.40 tengah malam, 19 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fuad Ramlan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ke premis pengadu dan memperkenalkan diri dari Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar serta polis dan meminta sumbangan bagi jamuan makan malam jabatan berjumlah RM3,000.

Pengadu menyerahkan wang RM100 sebelum tertuduh memberikan resit bayaran dan beredar.

Berita Harian X