Ahad, 24 March 2019 | 8:27pm
Noor Fatiha menunjukkan Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya Awam sempena Hari Ulangtahun Pertahanan Awam ke-67 di APM Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Noor Fatiha menunjukkan Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya Awam sempena Hari Ulangtahun Pertahanan Awam ke-67 di APM Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Noor Fatiha terima sijil kepujian APM

SEREMBAN: “Pengalaman selama tujuh tahun bergelar sukarelawan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) mengajar saya lebih tenang berdepan situasi cemas,” kata Koperal Noor Fatiha Arshad, 29.

Katanya, ilmu dan latihan yang dijalani selama ini memberinya kelebihan untuk mengawal situasi itu biarpun di luar waktu tugasan.

Noor Fatiha adalah anggota APM yang menyelamatkan penumpang dalam kejadian kebakaran feri ketika perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis, pada 25 Februari lalu.

Berikutan keberaniannya itu, Noor Fatiha menerima Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam sempena Hari Ulangtahun Pertahanan Awam ke-67 di APM Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Sijil kepujian itu disampaikan oleh Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak.

Noor Fatiha berkata, ketika kejadian itu dia berusaha menenangkan penumpang feri yang ketika itu panik disebabkan kebakaran dan bunyi letupan.

Dia mengakui turut berasa takut pada ketika itu, namun melihat keadaan penumpang dan memikirkan keselamatan menyebabkan dia mengatasi rasa takut itu dan membantu mereka.

“Saya adalah antara individu terakhir keluar dari feri berkenaan selepas semua penumpang keluar. Pada masa itu, saya nampak seorang remaja trauma dan saya tenangkan dia sebelum masuk semula ke dalam feri untuk mengambil jaket keselamatan.

“Kemudian semua penumpang diselamatkan dua bot persendirian yang ketika itu berada di lokasi kejadian dan tiada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Noor Fatiha yang bertugas di APM Kulim, Kedah berkata, dia tidak pernah mengharapkan pengiktirafan sedemikian, namun berasa syukur dan bangga atas penghargaan diberikan itu.

“Saya berterima kasih kerana pengorbanan saya dihargai. Penghargaan ini membuatkan saya lebih bersemangat dan mendorong saya untuk lebih aktif membantu komuniti,” katanya.

Dalam kejadian pada 25 Februari lalu, sebuah feri yang membawa 52 penumpang dari Terminal Feri Langkawi menuju ke Kuala Perlis terbakar di kawasan perairan berdekatan Kuah.

Feri berkenaan dikatakan baharu sahaja bertolak sebelum bahagian enjinnya mengalami kerosakan dan mengeluarkan asap tebal, jam 2.45 petang.

Berita Harian X