Khamis, 21 March 2019 | 7:36pm
TERTUDUH seorang bekas peguam diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, sebaik pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian RM250,000, enam tahun lalu dibacakan jurubahasa ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Bekas peguam dituduh pecah amanah RM250,000

AYER KEROH: Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tuduhan pecah amanah RM250,000, enam tahun lalu.

Azlan Khamis, 54, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan, sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Dia dituduh sebagai peguam di sebuah firma guaman, Tetuan Raja Ismail & Ambril Ghazaly, dengan curang melakukan pecah amanah wang pemegang saham milik syarikat Teras Tegap Sdn Bhd berjumlah RM250,000 yang diamanahkan kepadanya di Taman Tasik Utama, di sini pada 21 Mac 2013.

Azlan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos mencadangkan jaminan RM30,000, manakala tertuduh yang diwakili peguam, Muhammad Razman Sahat merayu ia dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak lagi bekerja dan sanggup datang dari Kuala Lumpur ke mahkamah serta memberikan kerjasama.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Elesabet membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Berita Harian X