Khamis, 21 March 2019 | 7:31pm
TERTUDUH diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia 5 tahun ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Tentera didakwa lakukan amang seksual terhadap anak jiran

AYER KEROH: Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak jirannya di sebuah kuarters tentera, tahun lalu.

Tertuduh, Ahadi Saib, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang tinggal di kuarters sama dengannya di Sungai Udang, Melaka, kira-kira jam 12 tengah hari, awal Jun tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos, yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain menyertakan syarat tambahan termasuk melarang tertuduh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes bagaimanapun merayu jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya masih berkhidmat sebagai penjawat awam dan mempunyai isteri serta tiga orang anak.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Elesabet membenarkan tertuduh dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai selain bersetuju dengan syarat diminta Timbalan Pendakwa Raya.

Elesabet kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 22 April depan.

Berita Harian X