Rabu, 20 March 2019 | 9:40am

Penunggang motosikal maut digilis kenderaan berat

TAPAH: Seorang penunggang motosikal berusia 24 tahun maut akibat dipercayai digilis kenderaan berat selepas merempuh belakang van dalam kemalangan di Kilometer 339.9 Lebuhraya Utara - Selatan (PLUS) arah utara di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan pada jam 12.30 tengah malam itu, Muhammad Amirulsolihin Hassan Din yang beralamat di Kampung Tersusun Batu 5, Tambun, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan peha.

Pemandu van jenis Nissan Vannete berusia 44 tahun bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari selatan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai merempuh belakang van yang menuju arah sama.

“Susulan rempuhan itu, motosikal mangsa terbabas di atas lebuh raya sebelum mangsa dipercayai digilis oleh sebuah kenderaan berat yang belum dikenal pasti.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan peha sebelum disahkan meninggal dunia lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mayat Muhammad Amirulsolihin dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.

“Dalam pada itu, usaha mengesan kenderaan lain dipercayai terbabit dalam kemalangan itu serta saksi masih dijalankan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X