Ahad, 17 March 2019 | 3:13pm

Bekas pengurus didakwa lakukan amang seksual fizikal terhadap remaja

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengurus dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 17 tahun, Januari lalu.

Muhamad Hilmie Mohd Azmi, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 17 tahun dengan memegang tangan kanan, mencium pipi, cuba mencium mulut dan meraba buah dada mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik VIP restoran di sebuah hotel di bandar raya ini, pada jam 3.30 petang 23 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Sabiq Mohd Subri, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Norman Fernandez.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berikutan pertuduhan dihadapi lelaki itu adalah berat.

Norman bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jaminan, RM7,000 dengan seorang penjamin.

Beliau berkata, anak guamnya hilang pekerjaan disebabkan kes berkenaan, selain ada tanggungan dua anak berusia lima tahun dan setahun empat bulan.

Jailani kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, selain syarat supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa sepanjang perbicaraan bermula hari ini.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 16 April depan.

Berita Harian X