Rabu, 13 March 2019 | 2:49pm

Van, petugas keselamatan dilarikan, wang tunai lebih RM105,000 lesap

RAWANG: Tiga petugas syarikat kawalan keselamatan dilarikan bersama van mengandungi wang tunai dianggarkan lebih RM105,000 sebelum mereka ditinggalkan kira-kira dua kilometer dari lokasi di Kilometer (KM) 438 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, malam semalam.

Sebelum itu, ketiga-tiga petugas yang juga warga tempatan dikatakan disamun tiga lelaki memakai topi keledar ketika berada di sebuah stesen minyak dekat Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang, kira-kira jam 8 malam.

Suspek kemudian bertindak merampas van berkenaan dan melarikan bersama wang hasil kutipan dari kedai serbaneka di stesen minyak itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata pihaknya semua mangsa diselamatkan oleh tiga rakan sekerja yang kebetulan melalui lokasi mereka ditinggalkan.

“Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu kira-kira jam 8 malam, memaklumkan sebuah van keselamatan disamun tiga lelaki di stesen minyak R&R Rawang arah utara.

“Van keselamatan bersama mangsa dijumpai di KM 438 arah utara oleh petugas syarikat Kawalan Keselamatan sama yang menaiki sebuah van lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Samsor berkata, forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor bersama Bahagian Jenayah Berat (D9) IPD Gombak serta pasukan siasatan lain hadir ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Katanya, semua enam petugas syarikat kawalan keselamatan terbabit yang berusia antara 24 hingga 59 tahun kini ditahan reman selama enam hari sehingga 18 Mac ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung ke itu masih dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X