Isnin, 11 March 2019 | 8:06pm
RAKYAT Indonesia, Siti Aisyah (tengah) yang dibebaskan atas tuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam selamat tiba di Jakarta di Lapangan Terbang Halim Perdana Kesuma. - Foto AFP
RAKYAT Indonesia, Siti Aisyah (tengah) yang dibebaskan atas tuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam selamat tiba di Jakarta di Lapangan Terbang Halim Perdana Kesuma. - Foto AFP

Bebas kes bunuh Jong-nam: Siti Aisyah selamat tiba di Indonesia

JAKARTA: Selepas lebih dua tahun ditahan dalam menjalani proses pengadilan di Malaysia, akhirnya Siti Aisyah tiba di tanah airnya, Indonesia petang tadi.

Dilepas tanpa dibebaskan atas tuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi, Siti Aisyah, 27, selamat tiba di Jakarta di Lapangan Terbang Halim Perdana Kesuma, pada jam 5 petang dengan pesawat khas yang diuruskan Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.

Ratusan petugas media tempatan menunggu ketibaan Siti Aisyah sejak jam 3 petang, turut menyiarkan berita secara meluas mengenai keputusan Hakim Datuk Azmi Ariffin berhubung kes terbabit.

Siti Aisyah ditahan pihak berkuasa Malaysia pada hari kejadian pembunuhan Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Feb 2017.

Wanita itu yang berasal dari Serang, Banten kelihatan ceria, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam pembebasannya itu.

Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly yang turut bersama Siti Aisyah pada sidang media di Jakarta, berkata pemerintah Indonesia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di Malaysia, yang terbabit dalam proses pengadilan itu.

“Selama dua tahun dan 23 hari, Siti Aisyah dipenjara di Malaysia (ditahan dalam menjalani proses pengadilan), proses yang panjang dan dia ternyata terbukti tidak bersalah, hanya menjadi mangsa dalam konspirasi kononnya terbabit dalam program ‘reality show’, tidak mengetahui yang dia telah diperalatkan,” katanya.

Menteri Luar Indonesia, Retno LP Marsudi dalam satu kenyataan, berkata pembebasan Siti Aisyah satu keputusan ‘yang manis’ dan khabar gembira buat Indonesia selepas wanita itu mengalami proses pengadilan yang panjang.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi tadi melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh Kim Chol.

Hakim Azmi membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad menarik balik pertuduhan ke atas Siti Aisyah, mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah. – BERNAMA

Berita Harian X