Isnin, 11 March 2019 | 2:26pm

Hina Nabi: Mualaf dipenjara 7 bulan, denda RM10,000

KUALA LUMPUR: Seorang mualaf yang menyalahgunakan laman sosial untuk menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam pada Februari lalu, dihukum penjara tujuh bulan serta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mahkamah turut menetapkan penjara dua bulan sekiranya tertuduh, Mohd Yazid Kong Abdullah, 52, gagal membayar denda.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Hasbullah Adam yang mengarahkan ia berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 5 Mac lalu, selepas mengambil kira hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Hasbullah juga merehatkan prosiding selama 10 minit sebelum menetapkan hukuman terhadap tertuduh yang mengaku bersalah pada 8 Mac lalu.

“Agama Islam adalah agama Persekutuan dan perbuatan tertuduh mencabar undang-undang tertinggi di dalam negara,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Asyraf Md Kamal, dan Pengarah Pendakwaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohd Sophian Zakaria.

Terdahulu, Muhamad Asyraf dalam pendakwaannya memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan perbuatan tertuduh adalah serius.

Beliau berkata, tertuduh juga tidak menunjukkan tanda penyesalan jelas kerana tiada membuat permohonan maaf secara terbuka sebelum ini dalam laman sosial miliknya kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Sementara itu, tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Salleh, dalam rayuan hukuman pula memohon maaf kepada mahkamah dan masyarakat Islam khususnya atas kesalahan berkenaan.

Tertuduh dalam rayuan turut memberitahu sekiranya dipenjarakan, dia ingin dibimbing dan diajar lebih mendalam mengenai agama Islam.

Tertuduh yang juga seorang penganggur, didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang jelik sifatnya menggunakan laman sosial Facebook menerusi profil ‘Yazid Kong’, dengan niat menyakitkan hati orang lain pada jam 8.21 malam 24 Februari lalu.

Hantaran itu kemudian dibaca oleh pengguna Facebook melalui profil ‘Mohd Syafiq’ di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Jalan Taman Melati, Wang Maju, kira-kira jam 12 tengah hari 1 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

MOHAMAD Yazid Kong Abdullah (kanan) Chow Mun Fai dihukum penjara tujuh bulan serta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
MOHAMAD Yazid Kong Abdullah (kanan) Chow Mun Fai dihukum penjara tujuh bulan serta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Berita Harian X