Khamis, 7 March 2019 | 6:13pm

Tak mengaku salah mengugut ibu sendiri

KUALA TERENGGANU: Seorang pemuda mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengugut ibunya di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Muhammad Syakir Afiq Mohamad@Fauzi, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut menggunakan kata-kata kepada Zaifah Mohd Amin, 41, dengan niat menimbulkan rasa takut di sebuah rumah di Seberang Takir, Kuala Nerus, jam 8 malam pada 11 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Syakir Afiq berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Chia Bih Huah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X