Khamis, 7 March 2019 | 3:40pm
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Bernama
MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - Foto Bernama

95 peratus setuju kadar bayaran Skim Peduli Kesihatan

KUALA LUMPUR: Dianggarkan 95 peratus daripada pengamal perubatan di negara ini bersetuju dengan kadar bayaran ditetapkan dalam Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40)

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata dakwaan bahawa pengamal perubatan swasta tidak bersetuju dengan kadar bayaran PeKa B40 yang dikatakan rendah adalah tidak benar.

Katanya, menerusi program turun padang dianjurkan kementerian, 95 peratus pengamal perubatan ditemui menyatakan mereka tidak berdepan masalah dengan kadar bayaran itu.

“Komitmen ditunjukkan pengamal perubatan sangat baik, malah mereka menyedari kami terpaksa meletakkan harapan terhadap mereka kerana kapasiti kami yang sesak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kingsley Strategic Institute (KSI), Tan Sri Dr Michael Yeoh.

Persidangan sehari anjuran KSI bertema ‘Mengoptimum Hasil dan Mencipta Nilai dalam Perubahan Landskap Penjagaan Kesihatan’ itu disertai lebih 100 peserta terdiri daripada pengamal perubatan dan individu terbabit dalam industri kesihatan menyertainya.

PeKa B40 diwujudkan bertujuan mengurangkan penyakit tidak berjangkit membabitkan 800,000 orang dalam kumpulan B40 berusia 50 tahun ke atas.

PeKa B40 yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta, akan menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Ia memberi penekanan kepada pengesanan penyakit awal tidak berjangkit kepada golongan B40 terutama apabila usia meningkat, sekali gus mengurangkan bebanan kos rawatan kumpulan berkenaan.

Terdahulu, Dr Dzulkefly dalam ucaptama persidangan itu, berkata pelaburan ke atas sesuatu rawatan bukan terletak pada banyak mana rawatan diberi kepada pesakit, sebaliknya hasil yang diperoleh menerusi rawatan diterima.

“Kementerian sentiasa terbuka dalam menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memperkasa sektor penjagaan kesihatan negara ini, malah PeKa B40 yang diperkenalkan adalah antara contoh perkongsian prinsip sosial dalam memperluaskan akses kesihatan golongan B40,” katanya.

Berita Harian X