Rabu, 6 March 2019 | 7:02pm
Suspek dipercayai menyerang seorang pelajar lelaki SMK Setia Alam, kelmarin.
Suspek dipercayai menyerang seorang pelajar lelaki SMK Setia Alam, kelmarin.

Suspek serang pelajar diminta serah diri

SHAH ALAM: Polis sedang mengesan tiga daripada empat suspek dipercayai menyerang seorang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setia Alam, kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 tengah hari membabitkan pelajar tingkatan tiga itu menjadi tumpuan umum susulan video dirakam dan menjadi viral di media sosial.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata polis menjalankan operasi mengesan suspek selepas menerima maklumat dan pengadu membuat laporan polis pada jam 1 tengah hari, semalam.

“Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam mengesan suspek di beberapa alamat di sekitar Klang, sebelum seorang suspek berusia 19 tahun ditangkap ketika dia menyerah diri di IPD Shah Alam pada jam 11.30 malam tadi.

“Perintah reman diperolehi untuk menahan suspek selama tiga hari sehingga 8 Mac ini. Polis masih mengesan tiga lagi suspek dan kita menasihati mereka segera menyerah diri bagi membantu menyelesaikan siasatan kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baharudin berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang berjalan kaki keluar dari pagar SMK Setia Alam untuk pulang selepas selesai sesi persekolahan waktu pagi.

“Ketika menunggu bapa rakannya tiba untuk menumpang pulang ke rumah, mangsa didatangi beberapa lelaki bertopeng (suspek) bersenjatakan batang besi dan besi berantai meluru ke arahnya.

“Suspek yang bersenjata rantai besi menghayun rantai besi itu sehingga mengenai siku tangan kiri pengadu hingga bengkak.

“Pengadu terus melarikan diri masuk ke dalam kawasan sekolah dan ke pondok pengawal bagi mendapat perlindungan,” katanya.

“Berdasarkan maklumat saksi kejadian, empat lelaki itu datang dengan menaiki sebuah kereta jenis Suzuki Swift biru,” katanya.

Beliau berkata, siasatan kes diteruskan dari pelbagai sudut untuk mengenalpasti motif kejadian termasuk kemungkinan pembabitan kumpulan kongsi gelap.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Saksi kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Zamhidatul di talian 010-4512505 atau 03-55202222,” katanya.

Berita Harian X