Selasa, 5 March 2019 | 3:05pm

Bapa pukul anak perempuan guna tukul

PARIT BUNTAR: Seorang wanita parah dipukul bapanya menggunakan tukul pemecah dinding di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata polis menerima panggilan dari petugas Hospital Parit Buntar (HPB) kira-kira jam 7.25 malam, memaklumkan menerima kes seorang wanita berusia 24 tahun parah selepas dipukul menggunakan senjata tumpul.

Katanya, pihaknya segera menjalankan siasatan sebelum menahan suspek iaitu bapa mangsa yang berusia 58 tahun di hospital sama.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku antara jam 5.30 petang hingga 6.30 petang semalam ketika bapa mangsa yang bekerja sebagai tukang rumah dikatakan baru pulang dari bekerja.

“Ketika kejadian, mangsa sedang membaca al-Quran sebelum didatangi bapanya yang secara tiba-tiba bertindak memukul mangsa di beberapa bahagian di kepala menggunakan tukul pemecah dinding miliknya.

“Akibat kejadian itu, mangsa parah manakala bapanya yang menyesal dengan kejadian itu bertindak mencederakan diri dengan menghentakkan kepalanya pada dinding rumah dan menerima lima jahitan di kepala.

“Suspek turut mengalami keretakan pada tulang tapak tangan kiri akibat tindakannya mencederakan dirinya sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat rombongan Ahli Majlis Daerah Kerian (MDK) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, siasatan awal mendapati bapa mangsa bertindak demikian berikutan mangsa yang sehingga kini masih belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan selepas menamatkan pengajian dan mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang perakaunan.

Beliau berkata, mangsa yang parah menerima rawatan di Hospital Taiping dan kini dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh berikutan kecederaan serius yang dialami kesan dari hentakan dan pukulan tukul berkenaan.

Katanya, polis sudah menahan bapa mangsa ketika mendapatkan rawatan di hospital dan sedang memohon perintah reman terhadapnya hari ini.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X