Isnin, 4 March 2019 | 5:32pm
KOMANDER PPM Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat menunjukkan rokok yang dirampas pada sidang media di Markas PPM Pelabuhan Klang, hari ini. - FOto Sairien Nafis

Tekong darat ekori PPM rampas 6,420 karton rokok

PELABUHAN KLANG: Unit Gempur Marin (UNGERIN), Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman, mematahkan sindiket penyeludupan 6,420 karton rokok kretek bernilai lebih RM600,000, awal pagi tadi.

Dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan empat lelaki termasuk seorang ‘tekong darat’ berusia 30-an dan 40-an berhubung siasatan kes itu.

Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat, berkata semua rokok itu disembunyikan di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dan van Toyota Hiace di Jalan Raja Musa, Kuala Selangor, dekat sini, kira-kira jam 5.30 pagi.

Beliau berkata, rokok berkenaan dipercayai cuba diseludup melalui perairan Kuala Selangor sebelum dipindahkan ke dalam kedua-dua kenderaan itu untuk pasaran tempatan.

“Sejumlah rokok kretek seperti Nusantara Gudang Garam Hijau Menthol (900 karton), Nusantara Gudang Garam Merah (300), Minna Merah Barokah (80), Minna Hitam International (320), Gudang Garam Surya 12 (4,160) dan Gudang Garam Surya 16 (660) dirampas.

“Nilai rampasan rokok termasuk cukai RM648,595 dan dua kenderaan bernilai RM370,000 turut disita menjadikan jumlah keseluruhan RM1.01 juta,” katanya pada sidang media di Markas PPM Pelabuhan Klang, di sini, hari ini.

Mohd Yusoff berkata, pihaknya yakin sindiket terbabit berkemungkinan mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan rokok terbesar di Johor, tahun lalu.

Beliau berkata, ‘tekong darat’ yang ditahan bertindak berani dengan mengekori pihak PPM hingga ke markas selepas tangkapan dibuat di Kuala Selangor.

“Lelaki menaiki Toyota Vios itu mengekori polis dipercayai bagi melaporkan setiap gerak geri polis kepada sindiket selain percaya dia cuba untuk menyogok pihak berkuasa,” katanya.

Berita Harian X