Isnin, 4 March 2019 | 1:07pm

Polis selamatkan kanak-kanak dipercayai dikurung ibu

KANGAR: Polis menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai dikurung ibunya sejak Rabu lalu di sebuah rumah di Taman Hijrah, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata kanak-kanak berusia tujuh tahun itu diselamatkan kira-kira jam 9 malam selepas pihaknya memperoleh maklumat daripada penduduk sekitar.

Dalam kejadian itu, beliau berkata, polis terpaksa memecahkan pintu jeriji rumah terbabit yang dikunci dengan mangga.

“Difahamkan, ibu bapa kanak-kanak terbabit sudah bercerai dan ibunya meninggalkan mangsa seorang diri dengan mengunci pintu rumah tanpa meninggalkan makanan untuknya.

“Jiran yang terdengar suara kanak-kanak itu menangis cuba memujuknya sejak Rabu lalu, dan memberi mangsa makan setiap hari melalui tingkap rumah berkenaan.

“Bimbang berlaku sesuatu tidak diingini, penduduk kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, semalam, sebelum kanak-kanak berkenaan diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Noor Mushar berkata, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, untuk menerima rawatan dan hasil pemeriksaan ke atas mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan dialami.

“Kanak-kanak itu kini diletak bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Susulan itu, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun dipercayai ibu kanak-kanak terbabit di rumah berkenaan bagi membantu siasatan, pagi tadi.

Berita Harian X