Sabtu, 2 March 2019 | 7:38pm
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau melihat mayat Mohamad Ridzuan yang maut dihempap pokok kelapa di Kampung Parit Abas, Kuala Kurau. - Foto BERNAMA
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kurau melihat mayat Mohamad Ridzuan yang maut dihempap pokok kelapa di Kampung Parit Abas, Kuala Kurau. - Foto BERNAMA

'Mangsa ada beritahu akan pulang makan tengah hari'

PARIT BUNTAR: “Arwah pergi ke pekan bagi menyiapkan kerja kolejnya dan saya rasa ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang untuk makan tengah hari di rumah,” kata Abdul Rani Amran, 46.

Beliau adalah bapa kepada Mohammad Ridzuan, 18, yang maut ditimpa pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang ketika mangsa melalui sebatang jalan dengan menunggang motosikal di Kampung Parit Abas, Kuala Kurau, di sini, hari ini.

Ketika ditemui di lokasi kejadian, Abdul Rani yang sugul berkata, anaknya itu memang berulang-alik dari rumah di Kampung Sungai Darat ke Kolej Vokasional Kerian, di sini, setiap hari jika ada kelas.

Katanya, beliau sedang bermesyuarat ketika menerima panggilan daripada rakannya memaklumkan bahawa Mohammad Ridzuan sudah meninggal dunia akibat dihempap pokok.

“Saya terkejut apabila dihubungi rakan untuk memberitahu perkara itu. Pagi tadi, anak ada memberitahu dia akan pulang untuk makan tengah hari selepas menyiapkan kerja di kolej,” katanya.

Sementara itu saksi kejadian, Zaiton Shaari, 63, berkata beliau yang berada di rumahnya terkejut apabila mendengar bunyi dentuman kuat lalu segera memanggil anak untuk melihat apa yang berlaku.

“Mak cik mendengar bunyi dentuman kuat seperti kemalangan sebelum melihat sebatang pokok tumbang.

“Anak mak cik keluar dan melihat ada motosikal dihempap pokok. Dia kemudian cuba mencari mangsa di dalam longkang tetapi tiada, lalu memanggil orang kampung berdekatan sebelum mendapati mangsa berada di bawah pokok yang tumbang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kurau, Azhar Azmuni, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.04 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba, katanya, anggota mendapati ada sebatang pokok tumbang dan seorang mangsa berada di bawahnya sebelum operasi mengeluarkan mangsa dijalankan.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba, dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berita Harian X