Sabtu, 2 March 2019 | 6:10pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyerahkan replika kunci kepada pemilik pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Jalilmas di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BENAMA
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menyerahkan replika kunci kepada pemilik pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Jalilmas di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BENAMA

Khalid nafi DBKL pilih kasih dalam penguatkuasaan

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, menafikan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan ‘penguatkuasaan pilih kasih’ sehingga menindas peniaga Melayu dan golongan muda.

Beliau berkata, anggota penguatkuasa DBKL hanya menjalankan tugas mengikut prosedur dan tidak pernah bersikap pilih kasih terhadap mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan termasuk warga asing.

“Kita ambil tindakan terhadap peniaga tertentu kerana mereka tidak mempunyai lesen dan kalau tiada lesen, apa bangsa pun kita tidak boleh bagi pengecualian.

“Kalau peniaga lain boleh mohon lesen, bermakna mereka pun perlu berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Residensi Jalilmas di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu rakaman video serbuan yang dijalankan penguatkuasa DBKL terhadap peniaga ‘food truck’ dipercayai di Jalan Genting Klang, Setapak yang viral di media sosial sejak pagi tadi.

“Dalam rakaman video itu, kalau kita tengok hanya gerai itu saja yang kita operasi (serbu) dan kita tidak mengganggu pelanggan lain yang sedang makan di gerai sebelah,” katanya.

Video selama tiga minit 55 saat itu memaparkan kekecohan yang berlaku ketika serbuan dijalankan penguatkuasa DBKL di kawasan berkenaan termasuk pergelutan antara peniaga dengan anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas.

Khalid berkata ketika serbuan dijalankan, ada antara peniaga yang melakukan provokasi termasuk mengeluarkan perkataan kasar dan memaki hamun anggota penguatkuasa yang menjalankan tugas.

“Malangnya, apabila penguatkuasa ambil tindakan, peniaga berkenaan bertindak balas termasuk mengeluarkan kata kasar dan sebagainya, malah dakwaan mereka bahawa anggota penguatkuasa DBKL hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu saja adalah tidak benar.

“Ini kerana kita juga ada jalankan serbuan di gerai milik peniaga bangsa lain di kawasan berkenaan dan mengambil tindakan sama,” katanya.

Sehubungan itu Khalid meminta semua pihak supaya bertenang selain meminta peniaga yang melakukan kesalahan supaya tidak merumitkan keadaan.

“Selepas ini, saya juga akan minta anggota penguatkuasa DBKL supaya lebih bertenang dan pekakkan telinga. Semua pihak harus faham, anggota penguatkuasa hanya menjalankan tugas dan mereka juga manusia biasa yang mempunyai batas kesabaran,” katanya.

Berita Harian X