Isnin, 25 Februari 2019 | 7:15pm
LANGKAWI 25 FEBRUARI 2019. Keadaan feri yang terbakar sewaktu dalam perjalanan dari Terminal Feri Langkawi ke Kuala Perlis. - Foto ihsan Pembaca
LANGKAWI 25 FEBRUARI 2019. Keadaan feri yang terbakar sewaktu dalam perjalanan dari Terminal Feri Langkawi ke Kuala Perlis. - Foto ihsan Pembaca

TERKINI: Penumpang feri terbakar dibawa ke Kuala Perlis

ALOR SETAR: Penumpang yang terkandas akibat feri yang dinaiki terbakar di Kuah, Langkawi hari ini, dapat meneruskan perjalanan masing-masing dengan ihsan syarikat Ferry Line Ventures Sdn Bhd yang menyediakan sebuah feri percuma khusus untuk mereka ke Kuala Perlis petang ini.

Pengurus Operasinya, Kapten Baharin Baharom, berkata syarikat konsortium yang memiliki lebih 40 feri daripada gabungan tujuh syarikat itu menawarkan perjalanan ihsan kepada 52 penumpang terlibat walaupun feri yang terbakar itu tidak berdaftar dengan pihak konsortium.

“Kita sediakan feri berkenaan untuk mereka kerana simpati dengan kejadian yang menimpa penumpang, di samping menunaikan tanggungjawab sosial kami,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, feri ihsan itu berlepas dari Terminal Feri Kuah kira-kira 5.30 petang dan tiba di Terminal Feri Kuala Perlis kira-kira 6.45 petang.

Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang tadi, seramai 52 penumpang berdepan detik cemas apabila feri yang dinaiki terbakar ketika dalam perjalanan dari Kuah menuju ke Kuala Perlis.

Orang ramai terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama di ruang Terminal Feri Kuala Kedah berikutan pembatalan dua trip perjalanan feri pagi tadi akibat air surut menyebabkan tempoh perjalanan dilewatkan. - Foto Zuliaty Zulkiffli

Kejadian itu berlaku kira-kira 15 minit selepas feri berkenaan berlepas dari jeti di Kuah dan kebakaran dipercayai berpunca daripada bahagian enjin.

Krew feri yang menyedari kejadian itu mengarahkan penumpang berkumpul di bahagian hadapan feri sebelum mereka semua diselamatkan bot-bot nelayan serta feri yang berada berhampiran lokasi kejadian.

Semua penumpang selamat, namun seorang wanita dan lelaki cedera dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. – BERNAMA

Berita Harian X