Ahad, 24 Februari 2019 | 1:03pm

Maut ditikam adik sendiri

KUANTAN: Seorang wanita maut selepas ditikam adiknya menggunakan pisau di Kampung Kemansur, Bentong, semalam.

Fan Suik Moi, 56, disahkan maut jam 6 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nanyan, berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima makluman daripada orang awam memaklumkan berlaku pergaduhan di sebuah rumah di Kampung Kemansur, kira-kira jam 10.30 pagi semalam dan seorang wanita ditikam.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, polis ke lokasi kejadian dan menahan adik mangsa serta merampas sebilah pisau dipercayai digunakan dalam pergaduhan berkenaan.

“Siasatan mendapati kejadian berpunca akibat pertengkaran dan perselisihan faham antara mangsa dan suspek. Ketika kejadian, ada ahli keluarga lain di rumah berkenaan yang menghalang suspek daripada terus menikam mangsa.

“Mangsa yang cedera dihantar oleh jiran ke Hospital Daerah Bentong dan seterusnya dirujuk ke HOSHAS kerana mengalami pendarahan yang serius kesan beberapa tikaman di badannya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian dan polis mengklasifikasikan semula siasatan kes kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Berita Harian X