Jumaat, 22 Februari 2019 | 6:53pm
FADZIL Ahmat
FADZIL Ahmat

Geng samun bermotosikal dalam radar Polis Selangor

KUALA LUMPUR: Lapan lelaki yang tular di media sosial kerana melakukan samun di siang hari dengan menaiki empat motosikal kini menjadi tumpuan utama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Selangor.

Suspek yang bersenjatakan parang dan bergerak dengan menaiki empat motosikal akan mencari sasaran rumah di kawasan sunyi sebelum melakukan jenayah samun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pada masa ini suspek dipercayai terbabit sekurang-kurangnya dalam enam kes samun di sekitar Klang Utara, Banting dan Serdang.

“Polis Selangor sedang memburu semua suspek terbabit sebelum video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika suspek melakukan kegiatan samun ini mulai tersebar menerusi media sosial.

“Sehubungan itu, kita meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan suspek atau terlihat kelibat kumpulan lelaki bermotosikal dalam keadaan mencurigakan untuk segera menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada semua kes yang berlaku membabitkan suspek sama meskipun modus operandi yang dilakukan serta jumlah pembabitan suspek adalah hampir serupa.

“Ini kerana ada antara pergerakan suspek dikesan dalam jumlah antara enam hingga lapan lelaki, namun kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Semalam, tiga kes samun dan cubaan samun dilaporkan berlaku membabitkan antara enam, tujuh dan lapan lelaki yang menaiki empat motosikal.

Dalam kes pertama, sekitar jam 2.15 petang seorang mangsa lelaki yang sedang meletakkan kereta di luar rumahnya di Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas, Klang, didatangi enam lelaki menaiki motosikal yang mengacukan parang sebelum melarikan wang tunai RM5,000; buku cek RM4,300; barang kemas RM2,000 dan telefon bimbit.

Tidak lama selepas itu, seorang wanita disamun ketika sedang berada di hadapan rumahnya di Lorong Lengkongan, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang, oleh lapan lelaki bersenjatakan parang yang menaiki empat motosikal jenis Yamaha 125Z.

Sekitar jam 4.05 petang semalam, seorang lelaki yang mahu keluar dari rumahnya di Bukit Kuchai, Bandar Kinrara, cuba disamun tujuh lelaki menaiki empat motosikal yang sebelum itu berlegar-legar di sekitar kawasan kediamannya.

Namun suspek gagal untuk menyamun mangsa selepas dia bertindak melarikan diri masuk ke dalam rumah sebelum mengunci pintu, manakala dua dari suspek bersenjatakan parang tidak berjaya memecahkan pintu rumah mangsa sebelum membocorkan tayar kereta dan melarikan diri.

Setakat ini beberapa video dan gambar suspek melakukan samun serta sedang mencari sasaran tersebar dalam laman media sosial.

Berita Harian X