Rabu, 20 Februari 2019 | 10:59pm

8 pusat urut haram, tawar khidmat seks diserbu

KUALA LUMPUR: Operasi lapan pusat urut haram yang disyaki menawarkan pakej perkhidmatan seks, dilumpuhkan dalam serbuan Banteras Aktiviti Haram (BAH) Siri 2.0 di Setapak, di sini, hari ini.

Dalam operasi bersepadu bermula jam 1 tengah hari, anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati premis berkenaan tidak memiliki lesen, selain menawarkan pakej perkhidmatan seks bernilai RM180.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood, berkata hasil serbuan itu, seramai 56 individu ditahan, termasuk 52 wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO).

Beliau berkata, wanita terbabit meliputi 29 warga Vietnam, Thailand (13), Indonesia (sembilan) dan Kemboja (seorang).

“Kita mendapati kebanyakan premis terbabit beroperasi sejak 2017. Ia sudah diserbu dan diperiksa beberapa kali, namun masih berdegil menjalankan perniagaan tanpa lesen serta menawarkan perkhidmatan seks.

“Kali ini, kita melumpuhkan sepenuhnya operasi semua premis itu dengan memotong bekalan air mereka.

“Kita tidak akan sesekali berkompromi dalam hal ini. Kaedah itu secara tidak langsung akan mengganggu operasi pusat urut terbabit.

“DBKL hanya akan membenarkan penyambungan semula bekalan air selepas ada penyewa baharu di premis berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi terbabit.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew.

Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sementara itu, Yee Kew berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan berkaitan kewujudan aktiviti maksiat di sekitar kawasan terbabit.

“Saya hairan kerana tidak pernah menerima sebarang aduan.

“Saya juga kesal kerana pemilik premis terbabit tidak dapat ditahan, hari ini. Saya bimbang masalah berbangkit akan berulang jika mereka tidak dapat dikesan,” katanya.

PENGARAH Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood (kanan) dalam serbuan operasi bersepadu Banteras Aktiviti Haram (BAH) Siri 2.0 di Setapak, hari ini. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X