Rabu, 20 Februari 2019 | 12:25pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

ADUN Meru didenda RM1,800

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman penjara lapan bulan kepada denda RM1,800 terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar atas sabitan kes hasutan berhubung kenyataan dalam perhimpunan #KitaLawan pada 2015.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan memutuskan perkara itu selepas membenarkan rayuan tertuduh.

Hakim Umi Kalthum berkata, mahkamah sebulat suara mengetepikan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menggantikannya dengan denda RM1,800.

Mahkamah turut menetapkan Mohd Fakhrulrazi dipenjara selama enam bulan jika tidak membayar denda berkenaan.

Menerusi keputusan itu, Mohd Fakhrulrazi yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) terselamat daripada hilang kelayakan sebagai ADUN Selangor.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor menyatakan seseorang disabitkan atas suatu kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lebih satu tahun atau denda lebih RM2,000, boleh hilang kelayakan sebagai ADUN.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Februari 2018 mengekalkan sabitan kes hasutan dan hukuman penjara lapan bulan terhadap Mohd Fakhrulrazi berhubung kenyataannya ketika perhimpunan #KitaLawan pada 2015.

Ketika itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah, menolak rayuan balas tertuduh dan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Ogos 2016.

Mahkamah Sesyen sebelum itu mengenakan hukuman penjara lapan bulan terhadap Mohd Fakhrulrazi selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pada 8 September 2015, Mohd Fakhrulrazi yang juga bekas Bendahari Dewan Pemuda PAS mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut di hadapan Kompleks Sogo, No 190, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, pada pukul 4.30 petang, 21 Februari 2015.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi, manakala Mohd Fakhrulrazi diwakili peguam Ariff Azami Hussein.

Berita Harian X