Ahad, 17 Februari 2019 | 8:14pm

Mangsa suami berang maut lepas 10 hari menderita tubuh terbakar

SHAH ALAM: Seorang wanita meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi semalam selepas 10 hari dirawat akibat melecur berikutan kejadian badannya disambar api, pada 7 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam pada 7 Februari lalu, mangsa, Rosnani Shamsudin, 44, yang sebelum itu dikatakan bertengkar dengan suaminya, terbakar selepas badannya disambar percikan api daripada pemetik api.

Katanya, sebelum kejadian, suami mangsa yang berusia 41 tahun mengugut untuk membakar rumah mereka dengan membakar sekeping kayu ‘pallet’ dengan menggunakan minyak petrol dan pemetik api, namun ia berjaya dipadamkan mangsa.

“Kemudian, mangsa merampas bekas petrol dari tangan suspek dan mencurahkan petrol ke badannya sendiri sebelum mangsa mengatakan kalau mahu bakar rumah, bakar dirinya sekali.

“Suspek yang berang dengan tindakan mangsa, memetik pemetik api dipercayai untuk mengacah saja tetapi tiba-tiba api terus menyambar tudung mangsa dan merebak ke seluruh badan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata mangsa berguling-guling di lantai sambil menjerit meminta tolong dan suspek memadamkan api pada badan mangsa serta menjerit minta tolong sambil berusaha memadamkan api yang menyambar sofa di rumah mereka.

Baharudin berkata, jeritan mangsa didengari adik lelaki suspek yang tinggal bersebelahan dengan rumah mereka di Batu 6, Bukit Naga di sini, sebelum beliau dan ibu mentua mangsa bergegas ke rumah wanita itu.

Katanya, adik ipar mangsa yang memasuki rumah yang tidak berkunci itu melihat sofa di kediaman itu terbakar dengan mangsa serta suspek terbaring dalam keadaan melecur.

“Ibu mentua dan adik ipar mangsa (pengadu) terus menghantar mangsa serta suspek ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang,” katanya.

Baharudin berkata, mangsa yang terbakar 48 peratus di seluruh badan termasuk muka dan tangan, dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut manakala suspek yang melecur di tangan dan kaki hanya dirawat sebagai pesakit luar.

“Pada jam 4 pagi semalam, doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia di HKL disebabkan jangkitan kuman pada kesan melecur terbakar,” katanya.

Baharudin berkata, pergaduhan mangsa dan suspek yang sudah berkahwin selama 19 tahun serta mempunyai lima anak berusia lima hingga 18 tahun itu berlaku sejak lapan tahun lalu berpunca daripada hal-hal kecil seperti mangsa lewat pulang dari kerja atau tidak mengemas rumah.

Beliau berkata, kes yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307/309 Kanun Keseksaan kini dikelaskan semula mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kematian tanpa niat selepas mangsa meninggal dunia.

“Suspek yang bekerja sebagai pemandu lori ditangkap untuk siasatan lanjut kira-kira jam 11.30 malam tadi apabila dia menyerah diri selesai pengebumian mangsa.

“Perintah reman sudah diperoleh untuk menahan suspek sehingga 21 Februari ini,” katanya.

Berita Harian X