Ahad, 17 Februari 2019 | 6:28pm
KETUA Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah. - Foto Nik Hariff Hassan

Helah pengarah syarikat buat laporan polis palsu terbongkar

KUALA LUMPUR: Temberang seorang pengarah syarikat membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya diragut dua lelaki menaiki sebuah motosikal di Jalan Bukit Bintang, di sini petang semalam terbongkar apabila polis memeriksa kembali rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian.

Suspek berusia 30 tahun yang juga pengarah sebuah syarikat perniagaan maklumat kredit berpejabat di Tangkak, Johor, mula mengaku bahawa laporannya sengaja direka sebagai alasan kepada rakan kongsi syarikat perniagaannya bahawa sebahagian wang syarikat berjumlah lebih RM182,000 hilang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, berkata suspek membuat laporan polis di Balai Polis Tun H S Lee, sekitar jam 6.30 petang semalam, dengan mendakwa menjadi mangsa ragut di Jalan Bukit Bintang di sini, mengakibatkan kerugian RM190,000.

“Dalam laporan polis yang dibuat, suspek mendakwa semasa sedang berjalan kaki pada jam 5.30 petang semalam di tepi lorong Plaza Imbi di sini, dia didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang meragut beg jenama LV mengandungi wang tunai RM190,000 dari tangannya.

“Susulan itu, pegawai polis menjalankan siasatan termasuk memeriksa CCTV dan menemubual saksi di kawasan berhampiran sebelum mendapati tiada sebarang pergerakan pengadu (suspek) serta kejadian ragut dilaporkan berlaku pada masa yang dinyatakan suspek dalam laporannya,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau berkata, pihak polis kemudian menjalankan siasatan susulan ke atas suspek sebelum dia mengaku berbohong dalam laporan yang dibuatnya.

“Suspek kemudian mengakui sejumlah wang sebanyak lebih RM180,000, yang juga milik syarikatnya, disedari hilang di kediamannya di Subang Jaya, Selangor, pada hari yang sama dan dia terpaksa membuat laporan polis mendakwa dirinya diragut di Bukit Bintang, sebagai alasan kepada rakan kongsi,” katanya.

Shaharudin berkata ekoran dari itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan atas kesalahan membuat laporan palsu.

Berita Harian X