Sabtu, 16 Februari 2019 | 12:00pm
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood (kanan) bersama pegawai DBKL menyita hotel yang beroperasi tanpa lesen serta merta pada Ops Bah 2.0 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

Spa tawar khidmat seks dibongkar

KUALA LUMPUR: Modus operandi sebuah spa yang menawarkan khidmat seks terbongkar dalam serbuan menerusi operasi bersepadu Banteras Aktiviti Haram (BAH) siri 2.0 di Cheras, di sini, awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 1 pagi itu, anggota penguat kuasa mendapati premis itu menyalahgunakan lesen diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menawarkan khidmat tidak bermoral terbabit dengan pakej berjumlah RM200.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Azman Mahmood, berkata hasil serbuan itu, seramai 16 wanita warga asing dipercayai pelayan pelanggan (GRO) berusia antara 20 hingga 31 tahun ditahan.

Katanya, 16 tahanan itu terdiri daripada tujuh wanita Vietnam, enam wanita Thailand dan bakinya dari Indonesia.


Antara bilik pusat urut dipecahkan kerana operasi tidak diluluskan selepas serbuan dibuat pada Ops Bah 2.0 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Foto Aswadi Alias

Sebahagian wanita pekerja asing yang ditahan selepas serbuan dibuat di sebuah pusat urut pada Ops Bah 2.0 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - Foto Aswadi Alias

“Selain itu, DBKL keluarkan satu notis kompaun kerana premis itu sepatutnya beroperasi hingga jam 2 pagi namun ia menjalankan perniagaan melebihi masa ditetapkan.

“DBKL juga mengeluarkan notis penguatkuasaan mengikut Seksyen 76 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Selari dengan akta itu, ia membolehkan DBKL merobohkan struktur hadangan bilik di SPA itu,” katanya ketika ditemui di premis berkenaan, awal pagi tadi.

Operasi bersepadu itu turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dalam serbuan berasingan, Azman berkata, pihaknya memeriksa lesen perniagaan sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), di sini.

“Kita dapati hotel itu tidak ada lesen dan ia dihuni pelancong yang dikenakan caj RM70 untuk satu malam. Sitaan dan penutupan premis itu dilakukan mengikut Seksyen 3(3) Akta Hotel 2003,” katanya.

Berita Harian X