Khamis, 14 Februari 2019 | 7:38pm
SEBAHAGIAN tong yang berisi bahan kimia mengalami kebocoran di Kampung Sungai Lalang hari ini. - Foto BERNAMA

Sisa baja kimia dibuang di tepi hutan Semenyih

KAJANG: Sisa buangan toksik yang dikesan dibuang berhampiran hutan di Jalan Sungai Lalang 1, Semenyih di sini sehingga menyebabkan pencemaran, Isnin lalu dikenal pasti sebagai sisa baja kimia mengandungi ‘ethyl ether’.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata siasatan mendapati keseluruhan sebanyak 172 tong berisi sisa toksik dilonggokkan di kawasan itu menyebabkan sisa berbentuk cecair itu tumpah.

“Siasatan lanjut polis, bomba, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menemui sebanyak 172 tong berwarna biru dan merah mengandungi sisa toksik berkenaan di kawasan itu.

“Tong berkenaan mengeluarkan bau bahan kimia yang kuat dan di bahagian luar tong tercatat jenis baja kimia iaitu ‘ethyl ether’ yang dikeluarkan sebuah syarikat di Cheras, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang berusaha mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada beberapa kilang yang terletak berhampiran bagi mengenal pasti dalang perbuatan itu.

“Ujian forensik mendapati tong berkenaan mengandungi cecair alkali dengan bacaan pH14.

“Beberapa sampel cecair dan tanah di tempat kejadian sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Dzaffir, pihak JAS kini sudah mengambil alih tugas pembersihan di situ daripada pasukan bomba dan kawalan polis.

“Kita sedang berusaha mengesan pihak yang bertanggung jawab dan kes disiasat mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan bersabit perbuatan cuai berkenaan bahan beracun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Vekram Sinniah di talian 019-4737108,” katanya.

Berita Harian X